Pendekatan Kajian : Konseptual Kata Kunci
Dalam perkembangan teori sastera, dunia sastera Melayu telah didominasi dengan pelbagai teori kesusasteraan Barat. Setelah menyedari akan kelemahan, kekurangan dan ketidaksesuaian beberapa teori Barat, maka para pemikir sastera tanah air berusaha untuk menghasilkan teori-teori sastera tempatan. Atas kesedaran itu maka lahirlah beberapa teori sastera tempatan di antaranya teori Pengkedahan Melayu oleh Hashim Awang (1989); Teori Takmilah oleh Shafie Abu Bakar (1992); Teori Teksdealisme oleh Mana Sikana (1993) dan Teori Persuratan Baru oleh Mohd Affendi Hassan (1999).
Walau bagaimanapun, kegairahan dan kerancakan mencipta teori-teori sastera tempatan semakin berkurangan dan menurun. Dalam abad ke-21 ini hanya lahir teori Puitika Sastera Melayu yang diperkenalkan oleh Muhammad Hj Salleh (2000); dan teori SPB4L (Sistem Pemikiran Bersepadu 4L iaitu Luhur, lahir, logik dan lateral) yang diperkenalkan oleh Mohd Yusof Hassan (2002). Dalam kemuncak inilah Mohamad Mokhtar Hassan berusaha untuk memperkenalkan teori yang diberi nama Teori Konseptual Kata Kunci pada tahun 2001.
Teori Konseptual Kata Kunci ini merupakan salah satu teori yang agak baru dan terkini dalam sejarah perkembangan teori sastera tempatan. Teori ini telah diperkenalkan oleh Prof. Dr Mohamad Mokhtar Hassan, seorang pensyarah di Jabatan Kesusasteraan Melayu, Universiti Malaya. Pada tahun 2001, Dr Mohamad Mokhtar Hassan telah melontarkan ideanya tentang teori tersebut menerusi pembentangan kertas kerjanya yang bertajuk “Pendekatan Kata Kunci: Satu Keadah dalam Kritikan Sastera” dalam Seminar Kritikan Sastera Melayu Serantau, anjuran bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 24-26 September 2001. Melalui teori ini, Mohamad Mokhtar Hassan telah menghuraikan definisi Konseptual Kata Kunci dan menjelaskan tiga prinsip teori tersebut iaitu kepengaruhan, diksi dan kesan.
Idea untuk melahirkan teori ini bermula ketika beliau berusaha menyiapkan tesis Ijazah Doktor Falsafah di Australia National University, Canberra sejak penghujung tahun 1995 hingga awal tahun 1999. Tesis beliau yang bertajuk “Key Concepts In Usman Awang’s Short Stories: Developing A Critical Tradition” merupakan pencetus kepada teori yang ingin diketengahkan oleh Mohamad Mokhtar Hassan.
Konseptual
Setiap individu pada umumnya pasti mempunyai konsep tersendiri terhadap sesuatu idea, perkara, hal, objek dan peristiwa. Konsep tersebut berkemungkinan sama ataupun berbeza dengan individu yang lain. Persamaan dan perbezaan konsep ini dipengaruhi oleh latar belakang, pendidikan, lingkungan masyarakat sekeliling, kepercayaan, adat budaya, ideologi, dan pertubuhan yang diperjuangkan. Sebagai contoh, konsep demokrasi negara bagi pelajar tingkatan tiga dengan pelajar universiti mempunyai perbezaan kerana tahap pendidikan yang diterima adalah berbeza. Begitu juga dengan tanggapan pihak politik sama ada pihak kerajaan mahupun pihak pembankang terhadap konsep demokrasi. Perbezaan konsep itu tentu sekali dipengaruhi oleh pertubuhan yang masing-masing wakili (Mohamad Mokhtar Hassan, 2005:78).
Selain itu, konsepsi seseorang individu juga berkemungkinan samasa sepanjang hayat atau berubah dengan berlakunya perubahan masa, zaman mahupun umur. Misalnya konsep sambutan perayaan bagi seseorang individu semasa mereka kecil tentu berubah apabila mereka telah dewasa. Bagi kanak-kanak perayaan lebih kepada kegembiraan untuk memakai baju baru, mengumpul duit raya dan bermain api. Tetapi bagi orang dewasa pula, perayaan adalah hari untuk bermaaf-maafan, kunjung-mengunjungi sanak saudara dan hari kesyukuran setelah sebulan berjaya menunaikan ibadah puasa.
Oleh itu, pengarang sebagai manusia biasa yang terdedah kepada pengalaman, persekitaran, pendidikan, pekerjaan, masyarakat, politik dan kepercayaan mempunyai konsepsi tersendiri terhadap sesuatu isi, perkara, hal dan objek. Konsepsi mereka juga boleh kekal mahupun berubah mengikut peredaran masa, umur dan zaman. Dalam melihat konsepsi seseorang pengarang terhadap sesuatu isu, hal, perkara ataupun objek itu dapat diteliti daripada kata-kata yang digunakan dalam hasil karya mereka. Kata-kata yang dipilih ini dinamakan sebagai kata kunci (Mohamad Mokhtar Hassan, 2005:79).
Kata Kunci
Setiap bahasa mempunyai kata-kata kunci tersendiri dan kata-kata kunci tersebut akan memaparkan nilai budaya dan masyarakat bahasa tersebut yang menuturkan atau memilikinya. Munurut Hashim Musa dalam bukunya yang bertajuk Pengantar Falsafah Bahasa,
“dengan melihat lapisan-lapsan perbendaharaan kata bagi satu bangsa dalam satu zaman tertentu, kita dapat menyelami kehidupan, aspirasi, cita-cita, kepercayaan dan pandangan dunia bagi masyarkat itu. Misalnya bagi masyarakat Melayu kuno, perkataan-perkataan seperti semangat, hantu, penunggu, serapah, bomoh, pawang, kapak huma, padi, dengan, langgar dan sebagainya membayangkan kegiatan hidup, kepercayaan dan pandangan dunia Melayu dalam zaman animisme atau pra-Hindu-Buddha.” (Mohammad Mokhtar Hassan, 2005: 80)
Kata kunci (keywords) diperkenalkan oleh Raymond Williams dalam bukunya bertajuk Keywords A. Vocebulary of Culture and Society pada tahun 1976 dapat difahami sebagai “a sheredbody of words and meaning that can be socially and culturally grouped” (Mohammad Mokhtar Hassan, 2005: 80). Selain itu, Mohamad Mokhtar Hassan turut memetik kata-kata Syed Naquib al- Attas yang menyatakan bahawa dalam perbendaharaan kata sesuatu bangsa terdapat apa yang dinamakan lapangan semantik atau lingkungan konsepsi. Menurut beliau:
“Lapangan semantik mengandungi kata-kata kunci yang mengelilingi satu kata tertentu sebagai pusatnya, iaitu dinamakan kata fokus. Kata kunci ialah sejumlah perkataan dalam perbendaharaan kata sesuatu bahasa yang sangat kuat mempengaruhi pembentukan fikiran konsepsi masyarakat itu tentang kewujudan, alam, reality dan kehidupan mereka. Kata Kunci bertindak sebagai kata fokus apabila perkataan itu menampakkan lapangan simantik yang ketara dan penting yang sangat rapat hubungannya dengan makna pusat perbendaharaan kata bahasa itu.”
Walaupun kata kunci sentiasa berhubungan dengan sejumlah kata-kata kunci yang lain, namun terdapat satu kata kunci yang menjadi fokus atau pusat tumpuan makna. Kata kunci tersebut dinamakan sebagai kata fokus bagi kesemua kata kunci yang berhubungan tersebut. Justeru, pada umumnya, Teori Konseptual Kata Kunci dapat dikatakan sebagai sebuah teori. yang menjadi konsepsi seseorang terhadap sesuatu isu dengan menggunakan kata kunci yang ditemui dalam karya yang dihasilkan.
Prinsip-prinsip Dalam Teori Konseptual Kata Kunci
Terdapat tiga prinsip dalam Teori Konseptual Kata Kunci yang dikemukakan oleh Mohamad Mokhtar Hassan, iaitu:
I. Kepengaruhan
II. Pemilihan Kata
III. Kesan
I. Kepengaruhan
Prinsip pertama ini berhubung dengan pengarang. Dalam prinsip ini, konsepsi pengarang terhadap sesuatu isu, hal atau perkara sedikit sebanyak dipengaruhi oleh latar belakang pengarang termasuk keluarga, pendidikan perkerjaan, masyarakat, budaya, kepercayaan, ideologi dan politik. Faktor umur, masa dan peredaran zaman juga turut memainkan peranan dalam menentukan konsepsi seseorang pengarang itu. Faktor-faktor ini juga turut menentukan penerusan atau perubahan konsepsi seseoran pengarang dalam penghasilan karyanya (Mohammad Mokhtar Hassan, 2005: 84).
Justeru, dalam pencarian konseptual seseorang pengarang itu, pengkaji atau peneliti karya sastera perlu mengenali latar belakang pengarang dan hal-hal yang berkaitan dengan dirinya secara lebih mendalam. Unsur ekstrinsik amat penting diketahui dalam memahami konseptual seseorang pengarang. Selain itu, peneliti juga harus mengetahui tarikh sesebuah karya tersebut dihasilkan. Dengan memahami unsur instrinsik ini, seseorang peneliti akan dapat memahami konsepsi pengarang terhadap sesuatu isi, perkara, hal, objek dan peristiwa (Mohammad Mokhtar Hassan, 2005:84).
II. Pemilihan Kata (Diksi)
Menurut (Mohamad Mokhtar Hassan, 2005: 85:84) prinsip ini pula berhubung dengan karya sastera. Dalam prinsip ini, pengarang akan menggunakan kata-kata yang berada dalam lingkungan dirinya untuk menyatakan konsepsinya terhadap sesuatu hal, isu, perkara, objek dan sebagainya. Walau bagaimanapun, pemilihan kata-kata bagi sesuatu konsep dalam sesebuah karya sastera mungkin diungkapkan melalui kata-kata konkrit ataupun abstrak atau gabungan kedua-duanya sekali. Sebagai contoh, konsep miskin jika kata konkrit, pengarang mungkin akan menggunakan kata-kata seperti ‘melarat’, ‘menderita’, ‘sengsara’. dan ‘terhimpit’. Manakala kata-kata abstrak pula, pengarang mungkin akan menggunakan kata seperti ‘anjing kurap’ dan ‘lorong ‘sempit’ dan ‘sampah’.
III. Kesan
Prinsip terakhir ini pula berhubung dengan khalayak pembaca. Seseorang pengarang secara sedar atau tidak akan mengemukakan konsepsinya melalui pemilihan kata-kata yang digunakan dalam hasil karya mereka. Konsepsi pengarang terhadap sesuatu isu, perkara, hal dan sebagainya ini pula dapat diarasai oleh khalayak pembaca dengan meneliti karya-karya yang dihasilkan oleh pengarang. Kesannya dapat ditemui dengan
meneliti kata-kata kunci yang digunakan. Kejayaan menemui konseptual seseorang pengarang itu akan terhasil apabila konseptual yang dikemukakan oleh pembaca menyamai konseptual pengarang. Justeru, pembaca harus bersifat objektif, iaitu tidak wujud prasangka atau dipengaruhi oleh ideologi, kepercayaan dan fahaman yang dimiliki oleh pembaca semasa mencari konseptual pengarang.
Berdasarkan rajah kerangka kajian, didapati bahawa prinsip kepengaruhan seseorang pengarang jelas dipengaruhi oleh unsur-unsur luar bagi menentukan konseptual pengarang. Daripada karya yang dihasilkan pula, pembaca dapat memahami konsepsi pengarang berdasarkan pemilihan kata-kata (diksi) yang digunakan dalam karya. Bagi teks karya sastera pula, pemilihan kata-kata yang ditemui merupakan kata-kata yang diungkapkan oleh pengarang. Manakala bagi khalayak pembaca pula, konsepsi pengarang dapat difahami melalui kata kunci (diksi) yang digunakan oleh pengarang dalam karyanya. Oleh itu, jelas bahawaterdapat hubungan keriga-tiga prinsip yang saling bertimbal balik di antara satu sama lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan